Total Pageviews

Karangan - Punca-Punca Pencemaran Alam Sekitar

    Pencemaran alam boleh ditakrifkan sebagai kotoran sekeliling yang menjejas kualiti kebersihan air, udara dan bumi. Isu berkaitan dengan pencemaran alam sekitar sentiasa dibincangkan kerana kesannya yang semakin membimbangkan. Pelbagai usaha telah dilaksanakan untuk mengurangkan pencemaran alam sekitar namun masih gagal. Alam sekitar terus tercemar oleh pelbagai aktiviti manusia yang tidak terkawal.

    Antara punca pencemaran alam sekitar ialah pembebasan asap dan gas bertoksik oleh kilang-kilang. Sektor perindustrian telah berkembang pesat di negara kita. Kebanyakkan kilang yang didirikan tidak menggunakan penapis asap yang berkesan sehingga mengakibatkan pembebasan asap yang kotor dan beracun ke udara.

    Pencemaran udara di negara kita semakin kritikal berpunca daripada pertambahan bilangan kenderaan. Peningkatan taraf hidup menyebabkan semakin ramai rakyat mampu memilik kenderaan sendiri. Bilangan kenderaan yang berjuta-juta di atas jalanraya, menyebabkan pembebasan asap dan gas karbon monoksida yang banyak hingga mencemarkan kualiti udara.

    Pembakaran terbuka yang dilakukan oleh pengusaha-pengusaha ladang turut mengakibatkan pencemaran alam sekitar, iaitu jerebu. Syarikat-syarikat besar cuba menjimatkan kos pelupusan bahan-bahan buangan dari ladang-ladang dengan membakar tanpa menghiraukan kesannya terhadap alam sekitar. Pemaju-pemaju perumahan juga melakukan pembakaran terbuka bagi bahan-bahan lebihan binaan seperti kayu, barangan getah, dan plastik.

    Pembuangan bahan-bahan domestik ke dalam sungai turut mengakibatkan pencemaran air. Sisa-sisa domestik dari kawasan perumahan, hotel-hotel, premis-premis kerajaan juga turut mencemarkan alam sekitar. Sisa-sisa yang terdiri dari minyak, bahan pencuci sangat berbahaya ini mengalir ke laut yang akhirnya menjejaskan hidupan akuatik. Dalam jangka masa yang lama, kesuluruhan ekosistem akan terjejas.

    Faktor semula jadi juga turut mengakibatkan berlakunya pencemaran alam sekitar. Fenomena alam semula jadi seperti letusan gunung berapi, ribut taufan, gempa bumi, banjir besar dan sebagainya boleh berlaku pada bila-bila masa. Pencemaran ini boleh mendatangkan kesan yang negatif terhadap masyarakat setempat. Sebagai contoh, apabila berlakunya letusan gunung berapi, secara tidak langsung akan mengakibatkan berlakunya jerebu. Jerebu akan menyebabkan penduduk setempat mudah terkena penyakit seperti asma,batuk,paru-paru,penglihatan yang tidak jelas dan sebagainya.

    Bumi yang indah ini merupakan anugerah Tuhan yang tidak ternilai harganya. Kita seharusnya menjaga alam kurniaan Tuhan ini dengan sebaik mungkin. Keprihatinan kita untuk menghormati dan menjaga kelestarian alam sekitar amat perlu. Tragedi pencemaran Sungai Kim-Kim dan kejadian tanah runtuh yang berlaku di Pulau Pinang perlu diambil iktibar oleh masyarakat dan pihak berkuasa agar peristiwa tragis berkenaan tidak berulang kembali. Penguatkuasaan undang-undang perlu diutamakan agar setiap pesalah dapat diadili dan menerima hukuman sewajarnya dengan kesalahan yang mereka lakukan. Hal ini penting untuk memastikan kelestarian dan kehijauan flora dan fauna yang bebas daripada pencemaran dapat dikekalkan.

Comments

Popular posts from this blog

Karangan - Faedah-Faedah Bersenam

Karangan - Cara-Cara Mengekalkan Perpaduan Kaum