Total Pageviews

Karangan - Kesan-Kesan Pembalakan Haram

    Pembalakan haram ialah aktiviti penebangan balak secara tidak terancang dan menyalahi undang-undang. Pengusaha pembalakan haram ini akan mengeluarkan kayu yang ditebang tanpa kebenaran atau dari kawasan dilindungi penebangan spesies dilindungi atau pengeluaran balak melampaui had yang dipersetujui. Terdapat beberapa kesan negatif akibat pembalakan haram.

    Pembalakan haram mampu menyumbang kepada terjadinya bencana alam. Pembalakan yang tidak terkawal akan menjadikan permukaan bumi gondol dan terdedah kepada hakisan. Bahan yang terhakis akan dibawa dan dimendapkan di dasar sungai. Hal ini menyebabkan sungai menjadi cetek. Apabila hujan lebat, sungai tidak mampu menampung air yang banyak lalu ia melimpah ke kawasan sekitar. Banjir yang sering kali memusnahkan perkampungan orang asli mengakibatkan kehidupan masyarakat ini diambang penderitaan.

    Kemusnahan habitat flora dan fauna juga merupakan kesan aktiviti pembalakan haram. Umum mengetahui bahawa hutan merupakan tempat tinggal semula jadi bagi pelbagai jenis tumbuhan dan spesies haiwan liar. Kemusnahan hutan bermaksud musnahnya tempat tinggal hidupan-hidupan yang tinggal didalamnya. Jika tiada tindakan yang diambil bagi mengawal kegiatan manusia yang tidak bermoral ini, nescaya perkara yang lebih teruk lagi akan berlaku.

    Pembalakan haram turut mengakibatkan peningkatan suhu di negara kita. Aktiviti pembalakan haram akan meningkatkan kandungan gas karbon dioksida dalam udara. Gas ini mampu memerangkap haba di atmosfera daripada dipantulkan semula. Fenomena inilah yang menyebabkan peningkatan suhu persekitaran. Keadaan menjadi bertambah teruk apabila kurangnya tumbuhan yang menyerap gas ini. Selain peningkatan suhu, fenomena ini turut mengakibatkan kesan rumah hijau dan perubahan suhu setempat.

    Pembalakan haram boleh menjejaskan punca rezeki dan kehidupan penduduk setempat. Hutan merupakan tempat untuk membekalan makanan seperti sayur-sayuran, buah-buahan, dan binatang buruan akan berkurangan. Keadaan ini akan menggurangkan pencarian hasil-hasil hutan sehingga turut menjejaskan pendapatan mereka.

    Aktiviti manusia menebang pokok-pokok akan menjejaskan kawasan tadahan hujan di tanah tinggi. Hal ini akan mengurangkan kadar serapan dan penyimpanan air dalam tanih sekali gus menjejaskan bekalan air.

    Kesimpulannya, kita harus berkolaboratif bagi membendung kegiatan ini daripada terus berleluasa. Pihak kerajaan haruslah mengambil tindakan yang tegas terhadap pesalah yang didapati menjalankan kegiatan pembalakan haram. Pembangunan yang keterlaluan sehingga mengorbankan hutan wajar dihentikan sejajar dengan matlamat kerajaan untuk memastikan sekurang-kurangnya 50 peratus daripada keluasan tanah negara dikekalkan sebagai kawasan berhutan sepertimana komitmen yang dinyatakan semasa Sidang Kemuncak Bumi di Rio de Janeiro, Brazil pada tahun 1992. Seperkara lagi, kita perlulah ingat bahawa kita tidak mewarisi bumi ini daripada nenek moyang kita, tetapi kita hanya meminjamnya daripada anak cucu kita.

Comments

Popular posts from this blog

Karangan - Faedah-Faedah Bersenam

Karangan - Cara-Cara Mengekalkan Perpaduan Kaum