Happy 6th Anniversary

The site has been refurbish with new look and content.

Total Pageviews

Karangan - Hidup Berjiran

    Pihak media massa sering menjadikan isu amalan hidup berjiran sebagai salah satu tajuk perbincangan mereka. Secara umumnya, jiran boleh didefinisikan sebagai orang yang tinggal berdekatan dengan kita. Setiap anggota masyarakat lazimnya mempunyai jiran sama ada di kiri, kanan, atau hadapan rumah. Aktiviti yang boleh dilakukan sesame jiran ialah seperti bergotong-royong untuk menyambut sesuatu keraian atau adat resam. Menurut statistic amalan hidup berjiran dalam negara semakin rendah dari tahun ke tahun. Terdapat pelbagai faedah yang boleh didapati daripada amalan hidup berjiran. Oleh itu, pelbagai langkah boleh diambil untuk meningkatkan  semangat hidup berjiran.

    Antara faedah semangat kejiranan adalah memupuk perpaduan antara setiap ahli masyarakat di negara ini. Malaysia merupakan negara yang unik kerana kita mempunyai rakyat yang berbilang bangsa, kaum dan agama. Namun, disebalik perbezaan kita berjaya mencari persamaan dan berbekalkan nilai-nilai murni seperti hormat-menghormati serta bertolak ansur sering menjadi amalan masyarakat. Mutakhir ini, timbul anasir-anasir yang ingin memecah belahkan perpaduan yang telah terjalin begitu lama oleh masyarakat kita. Semangat kejiranan yang mantap dapat menjadi solusi bagi melawan polemik yang semakin membarah dalam komuniti pada masa kini. Persis kata peribahasa Melayu, buang yang keruh, ambil yang jernih. Natijahnya, perpaduan yang erat antara satu sama lain akan lahir apabila semangat kejiranan timbul di kawasan yang didiami oleh kita dan menjadi suri teladan hidup berjiran. Bahawasanya sikap mengambil berat adalah antara langkah-langkah untuk mengelakkan tidak kefahaman antara satu sama lain.

    Selain itu, semangat kejiranan dapat memudahkan penganjuran program atau aktiviti yang berbentuk komuniti. Umum sedia maklum bahawa pihak kerajaan melalui agensinya akan melakukan aktiviti di peringkat komuniti tempatan bagi menyampaikan bantuan dan sebagainya. Seandainya, masyarakat setempat mempunyai semangat kejiranan yang baik, pastinya objektif seperti penyampaian bantuan dapat diberikan kepada mereka yang berhak mendapatkannya. Sesuatu pekerjaan dapat dilaksanakan dengan cepat dan lancar apabila ramai pihak menyumbangkan tenaga bagai aur dengan tebing. Selain itu, kita juga dapat menjimatkan masa yang terluang dengan melakukan aktiviti bermanfaat yang lain seperti menganjurkan majlis rumah terbuka. Intihannya, masayrakat yang memupuk semangat kejiranan dapat melaksanakan sesuatu pekerjaan dengan lebih cekap dan menghasilkan sesuatu yang berfaedah untuk semua.

    Seterusnya, semangat kejiranan yang kukuh akan menjamin keselamatan diri dan ahli masyarakat setempat. Keselamatan adalah perkara yang mustahak dalam menentukan seseorang untuk memilih kawasan kediaman masing-masing. Sebagai masyarakat yang bertanggungjawab, persatuan jiran tetangga boleh ditubuhkan bagi menjalankan tugas keslsematan seperti meronda pada waktu malam. Langkah ini dapat menimbulkan rasa selamat dikalangan penduduk. Kejadian seperti rompakan, ragut dan penculikan dapat dibanteras sekiranya terdapat mata-mata yang mengawasi kawasan perumahan kita. Penjenayah juga tidak berani untuk melakukan jenayah dalam kawasan yang mempunyai semangat kejiranan yang kukuh. Tambahan pula, ibu dan bapa akan berasa selamat untuk membiarkan anak-anak bermain di taman permainan yang berdekatan kerana ancaman jenayah telah dikurangkan. Izharnya, kesepakatan masyarakat dalam membuat sesuatu perkara boleh meningkatkan tahap keselamatan kawasan sekitar.

    Antara langkah yang dapat dilakukan untuk memupuk semangat kejiranan yang kian pudar hari ini adalah dengan mewujudkan satu pusat komuniti di setiap kawasan perumahan. Sebagai contoh balai raya dan dewan serbaguna yang boleh digunakan untuk aktiviti kemasyarakatan seperti bergotong royong dan sebagainya. Kemudian, perlunya organisasi seperti rukun tetangga ditubuhkan bagi mengurus hal-hal berkenaan aktiviti di kawasan kejiranan. Jadi, seharusnya semua ahli masyarakat mengambil bahagian dan menyumbangkan apa yang perlu untuk mencapai semangat kejiranan yang harmoni dan sejahtera. Bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat adalah peribahasa Melayu yang sesuai untuk digambarkan dengan semangat kejiranan yang wajar disemat dalam diri rakyat Malaysia.

    Selain itu, amalan hidup berjiran dapat dipupuk dengan menggalakkan aktiviti-aktiviti kemasyarakatan seperti gotong-royong dan bersukan di antara kkawasan perjiranan. Tanggungjawab ini bergantung kepada badan-badan bukan kerajaan seperti rukun tetangga dan khidmat komuniti oleh syarikat swasta. Program gotong-royong pembersihan atau membaik pulih balai raya atau dewan serbaguna dapat merapatkan hubungan antara masyarakat yang sertai sekaligus mengindahkan infrastruktur masyarakat serta menjamin kebersihan kawasan sekitar agar bersih daripada ancaman penyakit. Bak kata peribahasa Melayu, sambil menyelam minum air dimana aktiviti seperti ini mendatangkan pelbagai faedah kepada semua.

    Kesimpulannya, semangat kejiranan dalam masyarakat adalah budaya masyarakat Malaysia yang amat unik dan perlu disemai dan dihargai dengan lebih baik agar golongan muda mendapat manfaat daripada nilai yang baik ini. Tuntasnya, semangat kejiranan bukan sahaja memastikan masyarakat hidup dalam keharmonian dan sejahteran tetapi menjamin kesepaduan negara dalam menjadi negara yang lebih maju dan berdaya saing dengan negara-negara lain. Rakyat yang berjaya adalah rakyat yang kaya dengan nilai sahsiah dan menjamin modal insan kelas pertama yang akan memacu negara menjadi negara yang cemerlang, gemilang dan terbilang.

Comments

Popular posts from this blog

Karangan - Faedah-Faedah Bersenam

Karangan - Faktor dan Langkah Mengatasi Vandalisme