Total Pageviews

Karangan - Faedah-Faedah Koperasi Sekolah kepada Murid

    Pada era ledakan teknologi maklumat dan dunia yang pesat membangun ini, setiap sekolah menyediakan pelbagai kemudahan dan kelengkapan yang sewajarnya untuk para murid. Dalam meniti ranjau kehidupan yang penuh pancaroba ini, pihak sekolah telah menubuhkan koperasi yang merupakan sebuah organisasi yang menjalankan urusan perniagaan barangan dan perkhidmatan. Koperasi ditadbir oleh ahli lembaga pengarah yang dilantik dalam mesyuarat agung. Murid-murid sekolah yang merupakan ahli koperasi akan membantu guru koperasi untuk menjalankan urusan perniagaan di koperasi. Antara barangan dan perkhidmatan yang boleh diperoleh di koperasi ialah barangan makanan, minuman, peralatan menulis, buku latihan, lencana sekolah, uniform sekolah dan perkhidmatan fotostat. Setiap sekolah mesti mengadakan mesyuarat agung koperasi untuk melantik ahli jawatankuasanya. Persoalannya kini, apakah faedah penubuhan koperasi sekolah kepada murid-murid sekolah? Oleh hal yang demikian, faedah-faedah koperasi sekolah yang akan menjadi fokus perbincangan saya pada hari ini akan dikupas dan dihuraikan secara terperinci demi kebaikan bersama.

    Memang tidak dapat dinafikan bahawa, salah satu faedah terbesar koperasi sekolah ialah murid-murid dapat membeli barangan dengan harga yang lebih murah di koperasi sekolah. Mereka dapat menikmati barangan yang harganya berpatutan dan barangan yang berkualiti. Umum mengetahui bahawa koperasi juga menjual pelbagai jenis barangan, kemudahan dan perkhidmatan seperti alat tulis ,kertas kajang ,buku latihan  ,makanan ,minuman dan juga menyediakan perkhidmatan fotostat. Kesemua kemudahan dan perkhidmatan ini telah memenuhi kehendak serta keperluan guru serta pelajar. Sebagai analogi ,murid-murid dapat membeli sebatang pen di koperasi dengan harga yang lebih rendah berbanding membeli sebatang pen di pasar raya atau kedai runcit. Barang yang dijual di koperai jauh lebih murah daripada barang yang dijual di kedai kerana koperasi tidak bermotifkan keuntungan lumayan.Sebaliknya koperasi mengutamakan perniagaan yang menjaga kebajikan pelajar. Hal ini secara tidak langsung ,membolehkan seseorang murid berjimat wang untuk membeli alat-alat tulis dan buku-buku rujukan bagi meningkatkan prestasi pembelajaran kerana sehari selembar benang lama-lama menjadi kain. Tegasnya, koperasi menawarkan baranga yang harganya berpatutan dan berkualiti kepada warga sekolah.

    Suatu hakikat yang wajar diterima oleh semua pihak adalah penubuhan koperasi sekolah memberi banyak pengalaman kepada murid tentang selok-belok perniagaan. Secara tidak langsung, penglibatan murid dalam koperasi adalah merupakan proses pembelajaran di luar bilik darjah. Perkara yang dipelajari di dalam kelas seperti subjek prinsip perakaunan dan matematik dapat dipraktikkan ketika murid-murid mencari pengalaman berniaga daripada penglibatan mereka dalam koperasi. Sebagai contoh, murid-murid dapat belajar cara-cara menguruskan Akaun Tunai, membuat kunci kira-kira dan Imbangan Duga Terselaras apabila menutup akaun bagi setiap tahun. Pengalaman tersebut juga memudahkan murid-murid yang ingin menceburi bidang perniagaan dan keusahawanan dan menjadikan bidang tersebut sebagai kerjaya pada masa hadapan bak kata perpatah,melentur buluh biarlah dari rebungnya. Tambahan pula koperasi mendedahkan ahli-ahlinya terhadap selok-belok dunia perniagaan dan menyemai minat terhadap bidang perniagaan supaya pada suatu hari nanti muncul ahli-ahli perniagaan yang berjaya di arena global.Oleh itu, sudah terang lagi bersuluh bahawa koperasi sekolah dapat membantu dan membimbing golongan pelajar untuk mengetahui serta memahami dunia perniagaan.

    Di samping itu, penubuhan koperasi juga memberi faedah unutk menjana pendapatan sekolah dengan membantu menambah sumber kewangan sekolah untuk menyediakan pelbagai kemudahan kepada pelajar.Keuntungan yang diperoleh pihak koperasi adalah datang daripada pembelian barangan koperasi oleh murid-murid, guru-guru dan warga sekolah. Oleh hal yang demikian ,sebahagian keuntungan akan diberi kepada pihak sekolah supaya kewangan sekolah meningkat memandangkan koperasi merupakan kepunyaan sekolah. Di samping itu, kebanyakan koperasi juga dengan ikhlas memberi sumbangan untuk sekolah demi kemudahan murid-murid dan guru-guru. Misalnya, keuntungan yang diperoleh oleh koperasi sekolah boleh digunakan untuk menyediakna pelbagai kemudahan dan prasarana di sekolah seperti surau, pusat sumber, pondok belajar dan membina laluan berbumbung. Oleh itu, pendapatan dan keuntungan sebuah koperasi dapat membantu meringankan beban kewangan sekolah dalam menyediakan kemudahan untuk murid-murid sekolah.

    Sesungguhnya kita perlu akur dengan realiti bahawa koperasi sekolah juga dapat menjimatkan masa murid-murid. Hal ini dikatakan demikian kerana mereka tidak perlu pergi ke kedai-kedai yang jauh dari rumah mereka hanya untuk memfotostat sehelai kertas. Sudah tentu perkara ini akan menjadi suatu beban buat mereka terutama mereka yang tinggal di kawasan luar bandar yang tidak mempunyai perkhidmatan pengangkutan. Hal ini akan memaksa mereka untuk keluar ke bandar. Bagi murid yang keluarganya berpendapatan rendah dan tiada pengangkutan seperti motosikal atau kereta, mereka akan menghadapi kesukaran untuk membeli barang-barang keperluan sekolah seperti buku latihan ,peralatan menulis dan mendapatkan perkhidmatan fotostat. Dengan adanya kemudahan koperasi sekolah, masa murid-murid dijimatkan dan boleh digunakan untuk menyiapkan kerja sekolah dan mengulang kaji pelajaran kerana masa itu emas. Tuntasnya, koperasi sekolah dapat menjimatkan masa murid-murid kerana mereka boleh membeli peralatan sekolah yang diperlukan di koperasi tanpa perlu pergi ke kedai-kedai buku atau runcit yang rata-ratanya terletak di bandar.

    Sebagai menggulung segala yang deperkatakan di atas, koperasi mendatangkan banyak faedah kepada warga sekolah mahupun pihak sekolah. Oleh hal yang demikian, kita perlu bersyukur dan menghargai ahli jawatankuasa koperasi yang begitu bersungguh-sungguh mengendalikan dan mengurus hal ehwal koperasi.Tanpa usaha gigih mereka, koperasi sekolah sudah pasti bagai sebutir batu berlian yang tidak berguna. Marilah kita bersama-sama menggembleng teanga bagai aur dengan tebing untuk meneruskan usaha kita dengan menyokong sepenuh-penuhnya segala usaha dan perniagaan yang dilaksanakn oleh koperasi sekolah demi kesejahteraan murid-murid.

Comments

Popular posts from this blog

Karangan - Faedah-Faedah Bersenam

Rumusan - Kepentingan Tidur dari Segi Saintifik