Total Pageviews

Karangan - Peranan Ibu Bapa dalam Memupuk Amalan Berjimat-Cermat Dalam Diri Anak-Anak

    Amalan berjimat-cermat merupakan ciri penting dalam pengurusan kewangan yang berkesan. Amalan berjimat cermat dalam kalangan rakyat negara ini masih lagi rendah dan perlu dipertingkatkan kerana ingat sebelum kena, jimat sebelum habis. Amalan mulia ini perlu dipupuk sejak kecil lagi bak kata pepatah melentur buluh biarlah dari rebungnya. Oleh hal yang sedemikian, peranan ibu bapa dalam pemupukan amalan berjimat cermat dalam diri anak-anak amatlah besar.

    Ibu bapa sebenarnya dapat memupuk amalan ini dalam jiwa anak-anak dengan mengamalkan sikap kesederhanaan dalam kehidupan seharian. Dalam hal ini, ibu bapa harus menjadi contoh terbaik dengan merancang setiap pembelian terlebih dahulu. Ibu bapa haruslah enyediakan senarai pembelian bersama-sama dengan anak-anak supaya mereka dapat membezakan antara keperluan dengan keinginan. Jadi, anak-anak akan sedar bahawa perbelanjaan secara berhemat membolehkan kita mempunyai lebihan pendapatan untuk tabungan masa hadapan seperti yang ditegaskan dalam peribahasa sedikit-sedikit lama-lama jadi bukit.

    Selain itu, ibu bapa hendaklah mendidik anak-anak berjimat-cermat dalam penggunaan air dan elektrik. Hal ini membantu kita menjimatkan kos hidup dengan mengelakkan bayaran bil yang tinggi. Sebagai contoh, ibu bapa mengajar anak-anak sejak kecil supaya tidak membiarkan air paip mengalir sewaktu mandi atau membasuh pakaian. Anak-anak juga harus dilatih supaya memadamkan lampu dan kipas yang tidak digunakan. Jadi, peringatan dan teguran ibu bapa pasti akan dapat melahirkan masyarakat berjimat cermat pada masa akan datang.

    Seterusnya, ibu bapa perlu membuka akaun bank untuk anak-anak dari kecil lagi. Hal ini merupakan langkah awal untuk mempersiapkan mereka ke arah berjimat cermat. Usaha ibu bapa ini sudah tentu dapat menyemarakkan semangat anak-anak untuk menabung. Langkah ini juga akan mendorong anak-anak menjimatkan wang saku harian yang diberikan ibu bapa untuk meningkatkan tabungan mereka di dalam bank.

    Sebagai kesimpulan, sudah terang lagi bersuluh, ibu bapa memikul tanggungjawab yang besar untuk mendidik anak-anak berjimat-cermat. Hal ini amat penting untuk memastikan anak-anak muda di negara kita tidak terjerat dalam krisis kewangan.

Comments

Popular posts from this blog

Karangan - Faedah-Faedah Bersenam

Rumusan - Kepentingan Tidur dari Segi Saintifik