Karangan - Faedah-Faedah Aktiviti Kokurikulum
Anak-anak yang masih muda khususnya mereka yang masih berada di bangku sekolah merupakan harapan bangsa dan negara pada masa hadapan untuk mengemudi kecemerlangan bangsa dan negara di pentas global kerana pemuda harapan bangsa pemudi tiang negara. Justeru, menyedari dan hakikat ini sistem pendidikan negara kita tidak hanya mementingkan pencapaian akademik semata-mata tetapi juga pencapaian dalam bidang kokurikulum.Kerajaan melalui Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah mewajibkan aktiviti kokurikulum kepada semua pelajar di seluruh negara.Hal ini demikian kerana aktiviti kokurikulum seperti persatuan, kelab, unit beruniform dan 1M1S bukan sahaja memberi banyak faedah kepada pelajar tetapi dalam masa yang sama mendatangkan pelbagai kemaslahatan kepada bangsa dan negara. Persoalannya sekarang, apakah faedah-faedah aktiviti kokurikulum khususnya kepada golongan pelajar.
Memang tidak dapat dinafikan bahawa, kegiatan kokurikulum sememangnya mendatangkan pelbagai faedah kepada pelajar. Aktiviti kokurikulum dapat menyihatkan tubuh badan pelajar. Aktiviti kokurikulum seperti 1M1S dapat menangani masalah obesiti dalam kalangan pelajar. Melalui kegiatan kokurikulum yang dijalankan, pelajar memerlukan ketangkasan dan ketahanan fizikal. Sebagai contoh, aktiviti merentas desa dan ekspidisi mendaki bukit boleh meningkatkan daya tahan dan stamina pelajar. Dalam masa yang sama juga, peluh dan bahan-bahan kumuh yang berbahaya dapat dikeluarkan dari badan. Di samping itu,daya tahan pelajar terhadap serangan penyakit juga meningkat. Oleh itu,berbekalkan tubuh badan yang sihat, mereka akan dapat menumpukan perhatian semasa proses pengajaran dan pembelanjaran,bak kata pepatah "otak yang cerdas lahir daripada badan yang cergas". Aktiviti kokurikulum seperti sukan bola sepak, hoki dan badminton dapat melancarkan pengaliran darah,memperkuat urat, otot dan tulang serta meningkatkan daya ketahanan pelajar terhadap penyakit kerana mencegah lebih baik daripada merawat. Oleh itu, jelaslah bahawa kegiatan kokurikulum mampu menjamin kesihatan serta mencergaskan minda pelajar sekali gus membantu mereka mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan.
Selain itu, murid-murid dapat memenuhi masa lapang dengan aktiviti yang berfaedah melalui penglibatan dalam kegiatan kokurikulum. Hal ini dikatakan demikian kerana dengan menyertai pelbagai kegiatan kokurikulum seperti aktiviti persatuan dan badan beruniform penglibatan pelajar dalam gejala sosial dapat dikurangkan ke tahap yang paling minimum. Dalam masa yang sama juga, pelajar akan bersikap lebih menghargai masa yang terluang dan sentiasa berpegang kepada ungkapan bahawa masa itu emas. Sebagai contoh, sekumpulan pelajar yang menyertai aktiviti perkhemahan akan memperoleh banyak pengetahuan tentang cara terbaik berinteraksi dengan alam. Mereka akan disemai dengan perasaan cinta akan alam sekitar, di samping mengamalkan sikap bagai aur dengan tebing dengan peserta perkhemahan yang lain. Dengan mengikuti akativiti-aktiviti yang berfaedah remaja akan kurang berhadapan dengan risiko dipengaruhi oleh gejala yang bertentangan dengan norma-norma masyarakat timur seperti merempit, lepak, vandalisme dan jenayah. Pada masa yang sama,pelajar tidak akan mudah kehilangan arah atau petunjuk hidup sekiranya masa yang terluang diteruskan secara efektif dan efisien. Dengan itu, murid-murid akan lebih bersikap positif dan cenderung untuk melakukan pelbagai aktiviti yang mendatangkan pelbagai kemaslahatan kepada diri,keluarga dan masyarakat sekeliling.
Malah, tidak keterlaluan jika diungkapkan bahawa kegiatan kokurikulum yang dijalankan dapat menjalin hubungan silaturahim serta menyemai nilai-nilai murni di dalm diri para pelajar. Hal ini dikatakan demikian kerana melalui sesuatu aktiviti seperti 1M1S atau badan beruniform,mereka akan berganding bahu melaksanakan tugasan yang diberikan.Mereka akan bergaul mesra dan mengenali pelajar-pelajar lain yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan agama. Para pelajar juga berpeluang memahami adat resam dan kepercayaan kaum-kaum lain seperti Melayu, Cina, India, Iban dan Kadazan. Dengan ini perpaduan dapat diwujudkan dan impian Malaysia untuk mempunyai masyarakat 1 Malaysia akan dapat dicapai. Di samping itu, aktiviti kokurikulum juga merupakan platform untuk menyemai nilai-nilai murni di dalam sanubari pelajar supaya menjadi insan yang kamil dan soleh. Melalui aktiviti kokurikulum,nilai-nilai murni seperti kerjasama, hormat-menghormati, kesopanan dan patriotisme dapat diterapkan dan disebatikan di dalam diri murid-murid. Dalam masa yang sama, mereka juga didedahkan untuk mengamalkan nilai-nilai murni dalam kehidupan seharian seperti hormat-menghormati, bertolak-ansur, bersopan santun dan berbudi bahasa. Secara tidak langsung, mereka juga akan melalui proses pembentukan peribadi yang sempurna seperti kata peribahasa Melayu, benih yang baik jatuh ke laut menjadi pulau.
Sebagai penutup bicara akhir, tanggapan sesetengah ibu bapa bahawa aktiviti kokurikulum tidak membawa kebaikan dan membuang masa sahaja haruslah dikikis. Demi mencapai Transformasi Nasional 50, Malaysia memerlukan generasi penggerak wawasan yang sihat, berkaliber, berwibawa dan berintelek selari dengan modal insan yang memiliki minda kelas pertama.Amalan peribahasa sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna haruslah dihayati dan direnungi bersama. Justeru, sama-samalah kita menyertai dan menjayakan aktiviti kokurikulum di sekolah demi kecemerlangan bangsa dan negara.
Comments
Post a Comment