Rumusan - Kepentingan Tidur dari Segi Saintifik
Baca petikan di bawah
dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang kepentingan tidur dari segi saintifik dan cara-cara mengatasi
masalah sukar tidur. Panjangnya
rumusan hendaklah tidak melebihi 120
patah perkataan.
Pernahkah sekali-sekala anda berasa otak lebih lembap dan
sukar untuk berfikir? Pernahkah anda mengalami keadaan yang merimaskan terutama
apabila sukar memberikan tumpuan kepada kerja ataupun pelajaran? Kajian
menunjukkan bahawa masalah sukar menumpukan perhatian dan kelembapan otak ini
ada kaitannya dengan faktor tidur.
Setiap orang memerlukan masa tidur yang berbeza mengikut
umur, tahap kesihatan dan aktiviti hariannya. Misalnya, golongan remaja
memerlukan tidur antara enam hingga lapan jam sehari. Tidur yang paling
berkualiti ialah tidur pada waktu malam. Tidur amat penting bagi melancarkan
proses metabolisme karbohidrat di dalam badan. Melalui proses ini, badan
seseorang mengeluarkan hormon pertumbuhan yang berfungsi untuk membaiki sel-sel
yang rosak. Kajian mendapati bahawa tidur yang cukup mampu meningkatkan
keupayaan untuk belajar dan membantu dalam memelihara daya ingatan seseorang.
Selain itu, proses penyimpanan maklumat di dalam otak juga berlaku semasa
tidur. Oleh itu, mereka yang sering tidur lewat, seperti murid yang mengulang
kaji pelajaran sehingga lewat malam, akan menyebabkan proses penyimpanan
maklumat terganggu. Kurang tidur juga mengakibatkan tumpuan seseorang dalam
membuat keputusan dan perancangan terjejas. Menurut kajian, kebanyakan
kemalangan yang berIaku di tempat kerja dan di jalan raya ada kaitannya dengan
tumpuan yang terganggu akibat faktor kurang tidur.
Tidur memantapkan sistem ketahanan dalam badan seseorang.
Hal ini demikian kerana seseorang yang tidur kurang daripada kadar biasa akan
mengalami tekanan dan melemahkan ketahanan badan sehingga menyebabkan mudah
dijangkiti penyakit. Menurut pakar, badan kita mempunyai pusingan biologi yang
tetap. Pusingan biologi ini aktif pada waktu siang dan kurang aktif pada waktu
malam. Oleh itu, bagi memulihkan pusingan biologi dalam badan, kita perIu tidur
secukupnya. Tidur yang tidak mencukupi akan menjejaskan pusingan biologi
seseorang.
Selain tidur pada waktu malam, amalan tidur seketika pada
waktu tengah hari dapat menyegarkan tubuh badan, sekali gus meningkatkan
produktiviti. Kajian juga menunjukkan bahawa tidur secara rutin selama 30 minit
pada waktu tengah hari dapat mengurangkan risiko sakit jantung. Walau
bagaimanapun, seseorang tidak digalakkan tidur selepas matahari terbit (selepas
subuh) dan pada waktu lewat petang (selepas asar). Hal ini demikian kerana
menurut pakar, tidur pada waktu-waktu tersebut boleh menjejaskan kesihatan.
Tidur yang cukup pada waktu yang sesuai merupakan komponen penting bagi
mendapatkan kesihatan yang baik.
Jawapan
Petikan membincangkan
kebaikan tidur dari segi saintifik kepada seseorang individu di dunia.
Kepentingan tidur
dari segi saintifik adalah melancarkan proses metabolisme karbohidrat di dalam
badan dan meningkatkan keupayaan untuk belajar serta membantu dalam memelihara
daya ingatan. Selain itu, tidur memantapkan sistem ketahanan dalam badan seseorang
dan memulihkan pusingan biologi. Seterusnya, tidur juga menyegarkan tubuh badan
sekali gus meningkatkan produktiviti dan mengurangkan risiko sakit jantung.
Cara-cara mengatasi masalah sukar tidur
adalah mengurangkan pengambilan minuman berkafein. Malah, keadaan bilik tidur
yang selesa dan menjalani aktiviti senaman turut merupakan cara yang berkesan.
Kesimpulannya, individu perlu memahami
kepentingan tidur supaya lahir masyarakat yang sihat.
Comments
Post a Comment