Total Pageviews

Karangan - Cara-Cara Mengekalkan Perpaduan Kaum

    Sejak 31 Ogos 1957, penduduk Malaysia yang terdiri daripada masyarakat berbilang kaum hidup bagai aur dengan tebing. Walaupun menyedari hakikat bahawa rambut sama hitam, hati lain-lain, namun masyarakat yang berbilang kaum ini hidup dengan aman dan damai. Oleh itu, semua pihak perlu memegang pada kekuatan jata negara, yakni "Bersekutu Bertambah Mutu" dan mengambil langkah-langkah proaktif untuk mengeratkan perpaduan kaum di Malaysia.

     Sebenarnya, kita bolehlah memperbanyak aktiviti gotong-royong di taman-taman perumahan untuk memupuk perpaduan kaum rakyat di Malaysia. Masyarakat yang berbilang kaum akan keluar untuk bekerjasama membersihkan taman-taman perumahan. Melalui aktiviti kemasyarakatan ini, mereka dapat lebih mengenali antara satu sama lain melalui perbualan dan berinteraksi kerana tak kenal maka tak cinta. Mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir pernah menegaskan bahawa bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat; perpaduan merupakan kekuatan negara. Oleh sebab itu, pemimpin negara percaya bahawa jika kita mengamalkan prinsip berat sama dipikul, ringan sama dijinjing, kita dapat menikmati pembangunan nusa tercinta ini bersama-sama.

     Selain itu, kita hendaklah membudayakan amalan kunjung-mengunjung ke rumah rakan-rakan yang berlainan kaum di Malaysia. kebudayaan antara kaum dapat difahami dengan lebih mendalam sekali gus dapat menjana tahap kefahaman dan membina masyarakat yang saling menghormati. Amalan ini amat digalakkan pada musim-musim perayaan kerana rakyat negara ini gemar mengadakan majlis rumah terbuka. Amalan rumah terbuka ini membuka ruang kepada rakyat berbilang kaum saling berkenalan dan beramah mesra di samping menikmati makanan tradisional kaum masing-masing. Oleh itu, sikap buang yang keruh, ambil yang jernih ternyata mampu menjalin hubungkan semangat perpaduan yang tersedia utuh.

    Seterusnya, kita juga dapat memupuk perpaduan kaum di Malaysia dengan menghantar anak-anak ke sekolah kebangsaan. Hal ini demikian kerana penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dan bahasa kebangsaan menggalakkan interaksi positif dalam kalangan pelajar pelbagai kaum. Di samping itu, penglibatan pelajar pelbagai kaum dalam usaha menjayakan program-program sekolah mampu melahirkan semangat berpasukan dan seterusnya memupuk semangat perpaduan yang kental. Oleh itu,  sistem pendidikan dan persekolahan yang sama merupakan agen utama dalam pemupukan semangat perpaduan dan integrasi kaum dalam kalangan masyarakat negara ini.

    Akhir kalam, sudah terang lagi bersuluh bahawa negara kita dapat berkembang maju dengan ebih lancar di bawah dasar 1Malaysia yang diilhamkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd  Najib Tun Razak jika rakyat Malaysia mengaplikasikan mesej dalam peribahasa ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni dalam kehidupan seharian. Oleh itu, semangat perpaduan harus disemai dan diingati sampai bila-bila agar Wawasan 2020 menjadi realiti, bukannya fantasi semata-mata.

Comments

Post a Comment

Popular posts from this blog

Karangan - Faedah-Faedah Bersenam

Rumusan - Kepentingan Tidur dari Segi Saintifik